Usaha memelihara kepentingan sesama Muslim tidak akan tercapai jika fitnah berleluasa
MEMALUKAN seseorang dengan mencari dan mendedahkan keaiban pada mata masyarakat adalah perbuatan mazmumah. Soal mencari dan mendedahkan keaiban orang lain ini dengan sesuka hati sangat dipandang berat oleh Islam.
Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka terhebahnya tuduhan yang buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah al-Nur: 19)
Atas dasar ini maka dikehendaki setiap orang menyimpan rahsia atau menutup keaiban saudaranya lebih-lebih lagi jika ia hanya semata-mata prasangka atau tuduhan buruk yang tidak berasas.
Ini kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah dan perselisihan yang akibatnya amat berat ditanggung oleh orang itu sendiri dan juga masyarakat.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat kelak.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Menjelaskan mengenai perkara mendedahkan keaiban ini, Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Mubin membahagikan manusia kepada dua golongan. Pertama, orang yang tidak pernah disebut melakukan kejahatan atau kemungkaran.
Jika terdengar atau diketahui bahawa mereka melakukan sesuatu kemungkaran, maka tidaklah harus didedah atau diperkatakan. Jika tetap diperkata atau didedahkan juga kemungkaran didengari itu maka ia menjadi ghibah (umpat) yang hukumnya haram dan berat dosanya.
Kedua, orang yang sudah terkenal dengan kejahatan atau kemungkarannya secara terang-terangan malah tidak mempedulikan sebarang nasihat yang diberikan dan tidak malu dalam melakukan kejahatan secara terbuka.
Golongan ini harus didedahkan keaibannya. Mendedah dan bercakap mengenai kejahatan mereka dalam situasi ini tidak lagi dianggap mengumpat. Malah, ada kalanya wajib didedahkan kejahatannya kepada orang ramai supaya mereka sentiasa berwaspada dengan tingkah lakunya.
Sebab jika didiamkan tentulah ia akan bermaharajalela dan kejahatannya semakin hari akan bertambah, sehingga membahayakan masyarakat.
Menurut sesetengah ulama pula, adalah sunat merahsiakan keaiban manusia dalam empat perkara iaitu keaiban berkaitan hak Allah, keaiban lampau yang tidak diketahui orang, keaiban orang berkedudukan dalam masyarakat dan keaiban dilakukan untuk melindungi kepentingan anak yatim.
Setiap manusia mempunyai kehormatan diri yang tidak boleh dinodai dengan diselidiki keaibannya, sekalipun ia berbuat dosa selama dilakukan secara bersembunyi.
Abu al-Haisam pegawai kepada Uqbah bin Amir (salah seorang sahabat Nabi) berkata: “Saya pernah memberitahu Uqbah bahawa saya mempunyai jiran yang suka minum arak dan saya akan melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya mereka datang menangkapnya. Lantas Uqbah berkata: “Jangan! Tetapi nasihatilah mereka itu”. Abu al-Haisam menjawab: “Saya sudah melarang tetapi mereka masih berbuat demikian. Justeru, saya tetap akan melaporkannya kepada pihak berkuasa.”
Uqabah berkata lagi: “Jangan! Sebab saya pernah mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang menutupi suatu keaiban, maka ia seolah-olah menghidupkan anak yang ditanam hidup-hidup dalam kuburnya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa’i).
Bagaimanapun, semua orang tetap ada keaibannya yang tertentu sama ada kecil atau besar dan tentu dia tidak suka diketahui orang. Apatah lagi jika ada orang sengaja mencari keaiban seterusnya menyebarkan ke sana-sini, tentu dia akan marah. Lebih buruk lagi jika ia membawa kepada perselisihan dan pergaduhan.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu mencari-cari keaiban orang lain, bererti kamu sudah merosakkan mereka atau setidak-tidaknya hampir merosakkan mereka itu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Hibban)
Sebenarnya hal ini bertentangan dengan dasar Islam yang menganjurkan umat Islam supaya saling berkasih-sayang, hormat-menghormati, bantu-membantu dan tidak benci-membenci antara satu sama lain.
Bagi orang yang suka menyebarkan keaiban orang lain, seharusnya berfikir bahawa dirinya juga tidak sepi daripada aib dan cacat. Jika dia tidak suka keaibannya dicari dan didedahkan maka mengapa pula dia sanggup mencari dan mendedahkan keaiban orang lain. Tidakkah dia bimbang suatu hari nanti orang lain pula akan mencari dan mendedahkan keaibannya.
Diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Wahai orang yang telah menyatakan beriman dengan lidahnya, tetapi iman itu belum sampai ke dalam hatinya! Janganlah kamu menyakiti orang Islam dan janganlah pula mencari-cari keaiban mereka. Sebab sesiapa yang mencari keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mencari pula keaibannya. Sesiapa yang telah dicari keaibannya oleh Allah, maka Dia akan mendedahkannya, meskipun ia berada dalam perjalanan yang jauh.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)
Segala bentuk perbuatan dan tindakan yang kita lakukan hendaklah berlandaskan syariat Islam. Jika syariat Islam tidak dipedulikan, usaha menghidupkan semangat kerjasama dalam masyarakat seperti bantu-membantu, hormat-menghormati dan memelihara kepentingan sesama Muslim tidak akan tercapai. Sebaliknya, akan wujud masyarakat yang penuh dengan kejahatan dan kemungkaran.
0 comments:
Post a Comment