Peminat fanatik cuba bunuh Jose Mourinho

Tikaman hanya kena pengawal jurulatih

MADRID: Seorang peminat cuba menikam jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho di sebuah lapangan terbang Sepanyol tetapi sebaliknya tindakan itu mencederakan pengawal peribadinya.

Serangan di lapangan terbang La Coruna yang terletak di barat laut Sepanyol itu berlaku ketika Mourinho menandatangani autograf, Jumaat lalu, lapor rangkaian radio Sepanyol, Cadena Ser.
“Ramai peminat Real Madrid menunggu pemain kelab itu di situ apabila Mourinho berhenti untuk menandatangani autograf. Mourinho rasa amat bimbang dengan kejadian itu,” lapor El Periodico.
Pengawal peribadinya itu hanya menyedari luka empat sentimeter dekat ketiak akibat tikaman itu apabila dia menaiki bas.

Penyerang itu menyasarkan jurulatih dari Portugis itu, lapor akhbar El Mundo. Pengurusan kanan Real Madrid menganggap kejadian itu cubaan membunuh Mourinho.
Berikutan itu, Real Madrid membuat keputusan untuk meningkatkan kawalan keselamatan terhadap bekas pengurus Chelsea itu, kata radio Cadena Ser.

Pihak berkuasa meneliti rakaman CCTV untuk mengenal pasti penyerang dan Real Madrid turut menimbang untuk menggunakan bas ke stadium lawan supaya jurulatih dan pemainnya tidak lagi perlu lalu di ruang rehat lapangan terbang.
Media melaporkan, rakaman CCTV merekodkan kejadian dan penyerang dikatakan seorang lelaki yang tinggi lampai.

Ketika bertugas di Inter Milan, pihak berkuasa Itali mendedahkan satu komplot untuk menculik Mourinho selepas menahan empat orang yang mempunyai gambar pengurus itu dan keluarganya keluar dari kediaman mereka di Como, Itali.

Pada 2004, Mourinho mendedahkan ketakutannya selama beberapa minggu selepas menerima ancaman bunuh sebelum pasukannya bertanding dalam perlawanan akhir Juara Juara Eropah.

Jurulatih terkenal itu yang menggelar dirinya ‘The Special One’ mengakui mengupah sebuah agensi keselamatan bagi melindungi beliau dan keluarganya. – Agensi

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MuCHi