KLANG: Jual doa dan pelekat kertas. Itu taktik sekumpulan warga asing yang dikesan mengambil kesempatan mencari wang mudah dengan mengunjungi rumah penduduk kononnya untuk beraya di beberapa kampung di daerah ini sempena Aidilfitri.
Mereka dilihat bergerak dalam kumpulan mengunjungi rumah ke rumah sejak hari raya pertama lalu dan membaca ‘doa’ sebaik saja tiba di pintu rumah penduduk dengan alasan memohon kesejahteraan.
Bagaimanapun, apabila ditanya asal-usul, mereka terus bercakap dalam bahasa tidak difahami sebaliknya mendesak penduduk menghulurkan derma sambil menghadiahkan beberapa jenis pelekat bertulis kalimah Allah.
Tinjauan Metroplus sejak hari pertama Aidilfitri mendapati setiap kumpulan seramai dua orang itu menjelajah beberapa kawasan kediaman seperti di Kampung Bukit Naga, Kota Kemuning dan Kampung Johan Setia, di sini.
Seorang penduduk, Kasim Saad, 56, mendakwa kumpulan sama sebenarnya bergiat aktif menggunakan modus operandi serupa sejak beberapa tahun lalu dan menggunakan doa dan pelekat bertulis kalimah Allah sebagai umpan mencari wang mudah.
Menurut Kassim, kumpulan itu dipercayai faham bahasa Melayu, tetapi sengaja enggan menjawab pertanyaan bagi mengelak terperangkap dengan jawapan yang boleh mendedahkan kegiatan mereka.
“Saya pernah lihat mereka datang menggunakan van dan diturunkan di kampung sebelum bergerak dari rumah ke rumah,” katanya.
Secara kebetulan warga asing berkenaan turut mengunjungi rumah rakan wartawan Metroplus dan wartawan sempat bertanyakan seorang daripada warga asing terbabit, tetapi hanya doa diberi sebagai jawapan.
Sebaik menyedari gambarnya dirakam, warga asing yang berpakaian baju Melayu itu menjadi kelam-kabut dan bergegas meninggalkan rumah penduduk dengan tergesa-gesa.
Seorang lagi penduduk yang enggan dikenali mendakwa kegiatan warga asing itu memalukan umat Islam kerana pergerakan mereka turut diperhatikan oleh jiran-jiran bukan beragama Islam.
“Mereka membaca doa di depan pintu seolah-olah mendesak penduduk menghulurkan sumbangan. Peliknya mereka ini enggan masuk ke rumah untuk menjamu selera sempena sambutan Aidilfitri,” katanya.
Sumber : Harian Metro
0 comments:
Post a Comment