Bandar mesra alam terbesar di dunia


ABU DHABI - Pentadbiran bandar Abu Dhabi di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) memajukan bandar mesra alam terbesar di dunia dengan menggunakan teknologi paling canggih.
Bandar mesra alam itu dikenali sebagai bandar Masdar yang boleh menempatkan 40,000 penduduk dan projek tersebut bermula sejak 2006.
Dibina di pinggir bandar Abu Dhabi, bandar Masdar yang langsung tidak mengeluarkan gas karbon bakal menjadi contoh kepada bandar mesra alam pada masa depan.
Bandar itu memperoleh penghuni pertamanya pada Oktober lalu apabila sekumpulan 175 orang pelajar menyertai projek Masdar.
Institut Sains dan Teknologi Masdar turut dibangunkan dengan kerjasama Institut Teknologi Massachusetts.
Sebuah kereta tanpa pemandu yang dikendalikan sistem navigasi canggih turut digunakan di kampus tersebut.
Buat masa sekarang, apa yang ada hanyalah kampus institut pengajian yang meliputi satu kluster bangunan dengan bumbungnya dipenuhi dengan panel solar serta sebuah ladang yang memperoleh tenaga solar.
"Kami memiliki sistem fotovolta berkuasa 10 megawatt di tapak yang mampu menjana banyak kuasa elektrik yang perlu disalurkan menerusi grid," kata Pengarah Masdar Power, Frank Wouters.
Masdar turut membangunkan loji kuasa solar berkapasiti 100 megawatt dengan kerjasama syarikat Total dari Perancis dan Abengo Sepanyol yang diberi nama Shams 1.
Ia dikatakan sebagai loji kuasa solar terbesar di dunia dan menelan kos sehingga AS$600 juta (RM1.83 bilion).
Abu Dhabi ialah antara negara Arab yang memiliki simpanan minyak paling banyak di dunia. - Agensi
Sumber : KOSMO! Online

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MuCHi