Israel mahu ranap ekonomi Gaza

Keadaan sekatan dimaklumkan kepada AS

BAITULMAQDIS: Israel memaklumkan kepada pegawai Amerika Syarikat (AS) pada 2008 bahawa ia akan membuat ekonomi Gaza di ambang ranap tetapi tidak sehingga mencetuskan krisis kemanusiaan, kata sebuah kabel diplomatik AS yang didedahkan sebuah akhbar Norway kelmarin. 

Tiga kabel yang disiarkan akhbar Aftenposten yang dibocorkan laman web WikiLeaks, menunjukkan Israel sentiasa memaklumkan kedutaan AS di Tel Aviv berhubung sekatan yang dikenakan terhadap Gaza.
Wilayah yang didiami 1.3 juta rakyat Palestin itu ditadbir oleh Hamas, kumpulan yang dimusuhi negara Barat berikutan keengganannya mengiktiraf kewujudan Israel, menolak keganasan dan menerima perjanjian damai sementara Israel-Palestin.
“Sebagai sebahagian daripada rancangan sekatan terhadap Gaza, pegawai Israel mengesahkan beberapa kali kepada pegawai kedutaan AS bahawa mereka bercadang membuat ekonomi wilayah itu hampir ranap tetapi tidak sehingga ia tidak berfungsi langsung,” kata satu kabel itu. 

Israel mahu ekonomi wilayah Palestin itu berfungsi pada paras paling rendah tetapi tidak sehingga mencetuskan krisis kemanusiaan,” kata kabel bertarikh 3 November 2008 itu. 

Dasar itu dilonggarkan Mei lalu berikutan kecaman antarabangsa selepas tentera Israel menyerang kapal bantuan Turki yang cuba memasuki perairan Gaza. 

Bagaimanapun, Israel terus mengenakan sekatan terhadap kemasukan barangan untuk kegunaan ketenteraan dan awam. 
Palestin pula berkata Gaza kekal sebagai sebuah ‘penjara’ yang disekat oleh Israel. 

Aftenposten berkata, ia memiliki 250,000 dokumen diplomatik yang dibocorkan kepada Wikileaks. 

WikiLeaks setakat ini sudah mendedahkan kira-kira 2,000 daripada 250,000 kabel yang diperolehnya dengan kerjasama akhbar El Pais, The Guardian, The New York Times, Le Monde dan Der Spiegel. – Agensi 


Sumber : Berita Harian Online

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MuCHi