FANATIK dan taksub ialah sifat yang keterlaluan dan melampau dalam sesuatu pegangan atau pendirian, biasanya berkaitan dengan keagamaan. Sifat ini amat dilarang oleh Allah SWT terhadap umat terdahulu terutama bagi ahli kitab. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah: Wahai ahli al-kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang yang sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka menyesatkan kebanyakan (manusia) dan mereka sesat dari jalan yang lurus.” (Surah al-Maidah, ayat 77)
Yusof al-Qaradhawi dalam kitabnya, as-Sahwah al-Islamiyyah mentakrifkan sifat melampau dalam bahasa Arab dengan ‘al-ghuluw’ (melampau) dan ‘at-tasydid’ (mengetat) (lihat). Sifat itu dilarang dalam Islam kerana bertentangan dengan sifat sederhana, adil dan seimbang, manakala sifat berlapang dada atau ‘tasamuh’, hendaklah diutamakan umat Islam, lebih-lebih lagi apabila kita berada dalam masyarakat majmuk bagi memelihara perpaduan antara kaum di samping dapat mempamerkan keindahan Islam sendiri.
Sifat fanatik kepada sesuatu pendapat sama ada pendapat sendiri atau guru atau jemaah adalah melampau, kerana ia menggambarkan kejumudan dan kebekuan fahaman seseorang yang tidak boleh melihat secara umum sesuatu isu yang dibangkitkan dalam masyarakat. Begitu juga ia menggambarkan seseorang yang tidak berkemampuan berbincang bagi membandingkan pendapatnya dengan orang lain untuk mengambil pendapat lebih baik berdasarkan dalil, hujah dan alasan terbaik. Ia adalah sifat tertutup terhadap pendapat yang berbeza dengannya dan berusaha menidakkan pendapat serta cadangan orang lain walaupun pendapat lain lebih baik.
Sifat begini memandang hanya diri atau guru atau jemaah sendiri yang betul, manakala pihak lain salah, malah dengan berani menuduh pihak lain yang berbeza pendapat sebagai jahil. Pihak yang tidak menurut pemikirannya dianggap fasik dan derhaka. Keadaan ini, seolah-olah menjadikan diri orang yang maksum (tidak melakukan kesalahan) dan percakapannya seolah-olah sabda yang diwahyukan, sedangkan semua ulama salaf dan khalaf sudah ijmak semua pendapat (perkara ijtihadi) boleh diambil dan boleh ditinggalkan kecuali sabda Rasulullah SAW.
Salah satu tanda fanatik dan taksub adalah bersifat kasar dalam pergaulan dan menggunakan kata kesat. Dalam dakwah, pendekatan keras tidak wajar digunakan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Allah SWT menyukai sifat lemah lembut dalam segala urusan.”
Golongan yang melampau juga akan memperlihatkan sifat berprasangka buruk kepada pihak lain. Begitu juga memandang seseorang dengan pandangan sinis, menyembunyikan kebaikan mereka dan pada masa sama memperbesarkan kesilapan orang lain. Mereka lebih banyak menuduh dan menghukum daripada memberi nasihat dan pengajaran.
Antara tanda sifat fanatik dan taksub dalam agama adalah pihak mengkafirkan pihak lain kecuali mereka yang berpegang dengan prinsip sama atau menganggotai jemaah mereka. Gejala ini sangat berbahaya kepada masyarakat kerana membawa kepada perbuatan menghalalkan darah dan harta pihak lain. Pada pandangan mereka, golongan terbabit murtad dan kufur. Pengikut ini disifatkan penulis Islam kini sebagai golongan khawarij pada zaman awal Islam. Penyakit ini wujud bukan kerana penghidapnya (iaitu golongan fanatik) tidak ikhlas, tetapi ada kecacatan pada kefahaman mereka (iaitu mengenai tuntutan agama yang sebenar).
Satu lagi tanda ketaksuban mereka adalah sifat memilih pendekatan militan dan kekerasan iaitu cuba mengubah kemungkaran dengan menggunakan senjata.
Bagi golongan terlalu fanatik dan taksub, Islam yang difahami mereka agak samar serta jumud dalam berfikir, mendatar dalam memahami sesuatu. Pemikiran mereka hanya memberi tafsiran sempit terhadap Islam. Fenomena begini menyebabkan berlaku jumud dalam pemikiran dan terpinggirnya tajdid dan ijtihad dalam menetapkan sesuatu hukum.
Mereka hanya tahu menyatakan haram dan bidaah, tetapi tidak mampu berijtihad dan meneliti ketetapan hukum secara mendalam.
Fenomena ini dinamakan sebagai aliran zahiriyyah baru. Mereka hanya sibuk soal remeh dan mencari pandangan keras (syadid) dalam fatwa. Semua ini berlaku kerana pemimpin dan guru mereka mempunyai kefahaman cetek dalam agama dan mereka tidak mahu mengiktiraf pandangan orang lain, sedangkan perbezaan pendapat adalah satu rahmat agar kita tidak terkongkong dalam satu pandangan walaupun dalam keadaan berbeza.
Sumber : Berita Harian
0 comments:
Post a Comment