'Makhluk halus' kutip hutang

KAIN rentang menawarkan perkhidmatan kutip hutang cara halus menimbulkan kemusykilan kalangan penduduk di sekitar Wangsa Maju.
Iklan khidmat tak didaftar berleluasa sekitar Lembah Klang 

BANGSAR: Pelik tetapi benar, guna khidmat makhluk halus untuk kutip hutang. Itulah perkhidmatan terbaru yang ditawarkan pihak tertentu kepada orang ramai di Lembah Klang, khususnya mereka yang sukar untuk menuntut hutang daripada pemiutang.


Dengan membayar 30 peratus daripada hasil keseluruhan kutipan hutang, orang ramai berpeluang menggunakan khidmat ‘cara halus’ yang ditawarkan pihak tertentu terbabit melalui banting iklan yang dipasang di pinggir bandar raya dan sekitar Selangor.
Antara perkataan yang tertera di banting iklan berkenaan ialah ‘Perkhidmatan Mengutip Hutang Cara Halus -untuk nilai RM1 juta ke atas.’ 

Tinjauan mendapati iklan perkhidmatan yang tidak didaftarkan itu meminta pelanggan menghubungi nombor telefon tertera pada banting iklan terbabit bagi mendapatkan khidmat yang ditawarkan. 

Bagaimanapun, perkhidmatan hanya diberi kepada jumlah kutipan hutang yang melebihi RM1 juta. 

Pihak menyediakan perkhidmatan itu yang enggan namanya disiarkan berkata, melalui kaedah yang diamalkannya, khidmat makhluk halus akan digunakan bagi memujuk pemiutang membayar hutangnya kepada pihak yang memberi hutang. 
“Pihak yang memberi hutang hanya perlu memberikan nama penuh dan alamat pemiutang. 

“Selepas memperoleh maklumat itu, ia akan dihantar kepada pemiutang yang mengakibatkan pemiutang pasti akan membayar jumlah hutang yang diminta asalkan mempunyai wang,” katanya kepada Sentral. 

Ditanya mengenai bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan, penyedia perkhidmatan dipercayai seorang lelaki dari Sabah berkata, sebagai bayaran pendahuluan, pelanggan akan diminta lima peratus daripada keseluruhan jumlah kutipan hutang, manakala 25 peratus lagi selepas wang kutipan hutang itu diterima, menjadikan 30 peratus bayaran kesemuanya. 

“Jika pelanggan menganggap jumlah bayaran untuk perkhidmatan ini terlalu tinggi dan tidak mampu untuk membayarnya, mereka boleh mengaturkan supaya pemiutang membayar jumlah yang lebih tinggi dari jumlah asal wang yang dipinjamnya, bagi membolehkan pelanggan melangsaikan bayaran perkhidmatan itu. 

“Bayaran yang dikenakan memang sebanyak itu kerana ramai sudah berjaya mengutip hutang mereka dengan cara ini. Kebanyakan yang pernah menggunakan perkhidmatan ini termasuk peniaga dan syarikat besar,” kata lelaki terbabit yang enggan mendedahkan identiti dan alamat pejabatnya. 

Sementara itu, tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz ketika diminta mengulas perkhidmatan itu berkata, walaupun membayar hutang itu hukumnya wajib, orang ramai sepatutnya mengelakkan menggunakan perkhidmatan yang membabitkan penggunaan jin untuk mengutip hutang kerana ditakuti ia adalah sihir. 

“Penggunaan sihir sepatutnya dielakkan apatah lagi perkhidmatan itu menawarkan cara kepada orang ramai yang memberi hutang untuk mengutip jumlah bayaran lebih tinggi daripada jumlah asal yang dipinjamkannya,” katanya.



Sumber : Berita Harian Online

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MuCHi